Sukan Asia 2022: Malaysian Tigers mampu bawa pulang emas

Iklan
Subahan bersama barisan pemain dan kejurulatihan Malaysian Tigers pada Ahad. - Foto: MHC

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal yakin pasukan lelaki negara mampu meraih pingat emas sulung di Sukan Asia Hangzhou 2022, China.

Beliau berkata, kekalahan tipis 3-4 kepada tuan rumah, India pada final kejohanan hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai pada Ahad, merupakan petanda baik untuk meraih emas sekali gus menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selaku juara benua.

Iklan
Iklan

Katanya, pemain kini perlu mempunyai keazaman tinggi, bekerja lebih keras dan percaya mereka mampu menewaskan India yang merupakan pasukan ketiga dunia di Sukan Asia pada 23 September hingga 8 Oktober depan.

"Sehingga minit terakhir baru mereka boleh kalahkan kita. Ia jelas pasukan kita semakin meningkat tapi saya selalu pesan kepada pasukan dan jurulatih Arul Selvaraj supaya perlu konsisten, bukan cemerlang dalam satu kejohanan sahaja dan kemudian menyepi," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan skuad Malaysian Tigers di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Iklan

Subahan turut mengingatkan para pemain, selain India, Malaysia yang kini menduduki ranking kesembilan dunia perlu berwaspada dengan juara bertahan Jepun, Korea Selatan, Pakistan serta pasukan tuan rumah Sukan Asia, China.

Sementara itu, beliau berkata, KHM akan memberikan imbuhan kepada pasukan hoki negara yang berjaya mencipta sejarah pada ACT kali ini dengan mara ke perlawanan akhir, sekali gus membakar semangat pasukan menjelang Sukan Asia.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, nilai imbuhan belum ditentukan lagi.

Menamatkan saingan ACT 2023 selaku naib juara merupakan pencapaian terbaik Malaysian Tigers sejak kejohanan itu dianjurkan pada 2011, setelah menduduki tempat ketiga pada 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.

Pada aksi final semalam, skuad negara mendahului 3-1 pada suku kedua, namun India bangkit menyamakan kedudukan 3-3 pada suku ketiga, sebelum mengesahkan kemenangan 4-3, empat minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Undian Sukan Asia menyaksikan Malaysia dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia manakala India berada dalam Kumpulan A bersama Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Pada edisi di Jakarta-Palembang, pasukan negara terlepas pingat emas selepas tewas kepada Jepun dalam aksi final Sukan Asia 2018. - Bernama