Kuasa di 6 negeri tepati ramalan

Iklan

SHAH ALAM - Dapatan kajian beberapa pusat kaji selidik dan pemerhati politik mengenai penguasaan parti politik di enam negeri menepati ramalan apabila ia kekal kepada kerajaan sedia ada berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga jam 10 malam tadi.

Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal menjadi milik Perikatan Nasional (PN) manakala Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan terus berada di bawah penguasaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

Berdasarkan keputusan tidak rasmi Kedah berjaya membentuk kerajaan negeri setelah menguasai 28 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kelantan pula, PN menguasai 39 daripada 45 kerusi DUN dan di Terengganu menguasai 25 daripada 32 kerusi DUN.

Bagi negeri milik PH-BN, Selangor menguasai 35 daripada 56 kerusi, Pulau Pinang 23 daripada 40 kerusi dan di Negeri Sembilan PH-BN menguasai 23 daripada 36 kerusi.

Iklan

Berdasarkan kaji selidik yang dikeluarkan oleh Ilham Centre pada Jumaat, pihaknya menyimpulkan dapatan jangkaan kemenangan bagi 3-3 dipengaruhi oleh tiga faktor utama iaitu peratusan keluar mengundi yang rendah, sikap penyokong UMNO dan BN terhadap kerjasama parti itu dengan PH serta pola sokongan anak muda yang masih kekal bersama PN.

Begitu juga dengan firma penyelidikan Emir Research dalam kajiannya meramalkan perkara sama.

Iklan

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada Sabtu menyaksikan lima penyandang Menteri Besar dan seorang penyandang Ketua Menteri menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Senarai kemenangan didahului penyandang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeniri, dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menepati ramalan ramai, Muhammad Sanusi mudah menewaskan pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim, berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Keputusan rasmi Muhammad Sanusi memperoleh undi sebanyak 21,823 undi, manakala pencabarnya, Muhamad Khizri memperoleh undi sebanyak 5,773.

Kemenangan pemimpin kelahiran Sik berkenaan boleh dianggap terjemahan sokongan padu pengundi negeri Jelapang Padi itu walaupun beliau berdepan pelbagai kontroversi panas baru-baru ini.

Dalam pada itu, kedudukan Muhammad Sanusi untuk terus bergelar Menteri Besar Kedah semakin ampuh berikutan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengatakan jawatan beliau akan dikekalkan jika terus mendapat mandat rakyat serta perkenan Sultan Kedah.

Berikutnya, keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menyaksikan penyandang Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menang di kerusi DUN Pasir Pekan dengan majoriti 12,811 undian.

Ahmad meraih 18,783 undian sekali gus menewaskan pencabarnya, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim dari PH yang sekadar memperoleh 5,972 undian.

Pesuruhjaya Pas Kelantan itu bagaimanapun tidak akan dipilih semula untuk jawatan berkenaan di mana Takiyuddin memaklumkan akan berlaku perubahan gabungan Menteri Besar dan timbalannya selepas PRN dengan menampilkan gabungan kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan teknokrat.

Seterusnya, penyandang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga menang di kerusi DUN Ru Rendang dengan majoriti 17,286.

Beliau memperoleh 20,927 undian berbanding Suhaimi Sulaiman daripada Pakatan Harapan (PH) yang sekadar mendapat 3,641 undian.

Tidak seperti rakan di Kelantan, Naib Presiden Pas yang juga Pengerusi PN Terengganu itu akan dikekalkan sebagai Menteri Besar.

Menjengah pula keputusan PRN di negeri terkaya di Malaysia iaitu Selangor, sokongan pengundi negeri itu ternyata masih berpihak kepada penyandang Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili PH-PKR.

Keputusan rasmi menyaksikan Amirudin berjaya mengekalkan kerusi dimenanginya pada 2018 selepas mendahului lawannya Muhammad Hanif Jamaluddin daripada PN.

Beliau mendapat 19,678 undi manakala Muhammad Hanif (14,493 undi) berdasarkan kiraan tidak rasmi setakat jam 9 malam.

Seorang lagi calon, Suman Gopal yang bertanding atas tiket Bebas mendapat 429 undi.

Turut memperoleh kemenangan pada PRN kali, penyandang Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di DUN Sikamat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu, menewaskan calon PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas, Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharudin.

Aminuddin memperoleh 12,730 undi mengatasi Ahmad Raihan dengan 10,068 undi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya memperkuatkan kerajaan negeri dan mempertahankan Aminuddin sebagai Menteri Besar agar kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi memudahkan penyelesaian masalah rakyat di negeri tersebut.

Berpindah ke negeri dikuasai PH atau lebih tepat DAP iaitu Pulau Pinang, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow turut memperoleh kemenangan mudah di DUN Padang Kota yang disandangnya sejak PRU11 pada tahun 2004.

Keputusan rasmi menyaksikan Kon Yeow memperolehi 8,261 undian manakala pencabarnya, H’ng Khoon Leng daripada PN mendapat 1,145 undian sekali gus hilang deposit.

Kemenangan Kon Yeow yang dilihat bersih daripada kontroversi turut menguatkan sokongan terdahulu daripada DAP supaya beliau kekal menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!