Najib tarik balik rayuan cabar keputusan hadir sidang Parlimen

Iklan
Najib Razak

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuannya kepada Mahkamah Rayuan untuk kebenaran memulakan tindakan undang-undang berhubung keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Parlimen.

Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 12 Julai lepas oleh Tetuan Shafee & Co, firma guaman yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Iklan
Iklan

Selain mahkamah, Jabatan Peguam Negara, yang mewakili Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, telah dimaklumkan mengenai penarikan balik tindakan undang-undang itu.

Iklan

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa permohonan Najib adalah akademik kerana beliau tidak lagi menjadi Ahli Parlimen berikutan pembubaran Parlimen pada 1 Oktober tahun lepas yang telah membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada bulan berikutnya.

Hakim Mahkamah Tinggi itu juga berkata, melainkan dan sehingga pengampunan diberikan atau sabitan Najib dibatalkan selepas semakan semula, tidak ada kemungkinan beliau akan sekali lagi menjadi Ahli Parlimen, sambil menambah bahawa undang-undang melarang mana-mana orang yang disabitkan bersalah untuk bertanding pada pilihan raya.

Iklan

Najib memfailkan permohonan itu pada 5 Oktober tahun lepas dan menamakan kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Beliau memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak memberikan beliau akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan konstituen.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Bernama