Kawasan terlibat ECRL Taman Sungai Sireh belum muktamad - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor belum mengeluarkan sebarang notis kepada penduduk Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang berhubung pengambilan tanah di kawasan tersebut bagi projek ECRL, setakat ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut dalam fasa penilaian da sedang mengenal pasti lokasi jajaran terlibat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan sebarang proses pengambilan tanah bagi projek ECRL dilaksanakan secara adil dan penduduk terjejas akan menerima pampasan sewajarnya.

"Ketika ini, yang sedang dibuat adalah penilaian untuk dicadangkan (kepada pemaju). Selepas itu, kerajaan negeri perlu mendapatkan realiti jajaran sebenar projek tersebut," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas isu dibangkitkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Gombak, Mohamad Suffi Kamari berkenaan dakwaan pengambilalihan rumah penduduk di Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang bagi tujuan projek tersebut.

Mohamad Suffi menerusi aplikasi TikTok pada Sabtu mendesak Amirudin bertemu dengan penduduk kawasan berkenaan yang didakwa bakal dihalau untuk memberi laluan kepada projek itu.

Iklan

Amirudin menjelaskan, isu tersebut akan ditangani satu persatu mengikut cara pentadbiran kerajaan yang dibuat dengan teratur.

Beliau berkata, projek ECRL pada masa ini memberi fokus kepada jajaran bermula dari Gombak, Janda Baik ke arah Serendah.

"Kita tumpukan kawasan-kawasan ini dahulu, kemudian saya akan fokuskan penyelesaian di Gombak pula.

"Perkara itu saya akan umumkan nanti namun buat masa ini, notis belum keluar, laporan rumah terlibat juga belum keluar," katanya.