Bayi perempuan maut digilis 4x4 dipandu sepupu

Iklan
Seorang bayi perempuan maut digilis kenderaan pacuan empat roda dipandu sepupunya dalam kejadian di kawasan rumah mereka di Kampung Darat Kolam, Kerteh, malam Ahad. - Gambar hiasan

KEMAMAN - Seorang bayi perempuan maut digilis kenderaan pacuan empat roda (4x4) dipandu sepupunya dalam kejadian di kawasan rumah mereka di Kampung Darat Kolam, Kerteh di sini malam Ahad.

Insiden itu menyebabkan mangsa, Syaza Syazwina Zahra Mohd Sazali yang berusia setahun lima bulan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 8.30 malam pada hari berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dilanggar kenderaan dipandu wanita berusia 19 tahun yang merupakan sepupunya.

Iklan

"Kenderaan itu di parkir di hadapan sebuah rumah dan pemandu kemudian memasuki kenderaan itu untuk bergerak ke rumah bapa mentuanya di Rasau, Dungun.

"Pemandu tidak menyedari mangsa berada di belakang kenderaan menyebabkan mangsa terkena tayar sebelah kiri kenderaan itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Iklan

Hanyan memberitahu, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelas beliau.