Najib sedih nasib pekerja dua syarikat FGV

Iklan

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan kesedihan dengan nasib menimpa 135 kakitangan Felda Engineering Services Sdn Bhd dan Felda Properties Sdn Bhd.

Melalui satu surat yang tular sejak semalam, pekerja di dua syarikat berkenaan dikhabarkan akan kehilangan kerja selepas FGV Holdings Bhd memutuskan untuk membubarkan dua syarikat tersebut.

Iklan
Iklan

Najib turut berkongsi surat berkenaan dalam laman Facebook beliau dan menyatakan kesedihan dengan nasib menimpa pekerja syarikat tersebut.

"Lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, 130 orang akan kehilangan kerja. Kedua-dua syarikat ini sudah beroperasi 30 tahun di bawah Barisan Nasional (BN) dan selama ini adalah syarikat yang beruntung.

Iklan

"Oleh itu, ramai yang dihentikan telah berkhidmat lebih dari 10 tahun di sana. Tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpendapat kedua-dua syarikat ini tidak lagi diperlukan,” tulis beliau.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, difahamkan pampasan yang diberikan kepada pekerja yang bakal diberhentikan juga tidak adil berbanding syarikat yang lain.

Iklan

"Itulah nasib rakyat di Malaysia Baharu ini,” ujar beliau.

Sementara itu, FGV dalam kenyataan Jumaat lepas memaklumkan kumpulan itu dalam proses membubarkan dua syarikat tersebut menjelang akhir 2019 sebagai sebahagian daripada program transformasi kumpulan.

Katanya, syarikat terbabit adalah perniagaan bukan terasnya yang mana daripada keseluruhan kira-kira 100 syarikat miliknya, hanya 93 syarikat aktif dan beroperasi dengan sebahagiannya tidak menguntungkan atau diurus dengan baik.

"Selaras dengan usaha membubarkan kedua-dua syarikat itu, FGV menawarkan pakej pemberhentian mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan buruh di Malaysia, kepada sejumlah 135 pekerja.

"Setiap pekerja yang terjejas akan menerima antara 10 dan 30 gaji bulanan semasa dan ia bergantung kepada tempoh perkhidmatan di FGV.

"Semua 135 pekerja juga akan menerima liputan insurans perubatan penuh sehingga 31 Disember 2019. FGV juga menyediakan sokongan penempatan kepada semua pekerja terjejas untuk membantu memudahkan peralihan yang lancar,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sejak pengurusan FGV membuat keputusan membubarkan kedua-dua syarikat terbabit setahun lalu, sejumlah 23 pekerja dari Felda Engineering dan Felda Properties diserap ke bahagian lain di FGV.