Penternak tembak mati harimau belang baham lembu

Iklan
Harimau belang yang mati akibat terkena tembakan ketika membaham lembu penduduk di Dala, Gerik pada Selasa. - Foto: Ihsan pembaca

GERIK - Seekor harimau belang dilaporkan mati akibat terkena tembakan selepas haiwan itu menyerang lembu peliharaan seorang penduduk di Dala di sini pada Selasa.

Kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi apabila lelaki dianggarkan berusia 50-an itu terkejut terdengar bunyi bising dari arah kandang lembu ternakannya yang terletak kira-kira 30 meter dari kabinnya.

Iklan
Iklan

Difahamkan, penduduk berkenaan membawa selaras senapang bagi tujuan keselamatan melakukan pemeriksaan di kandangnya sebelum ternampak haiwan liar itu sedang menarik salah seekor lembu miliknya.

Lelaki terbabit yang ketakutan terpaksa melepaskan satu das tembakan dan mengenai harimau terbabit. Haiwan liar itu dilaporkan mati di tempat kejadian.

Iklan

Perkara itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sedang membuat rondaan di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Iklan

Difahamkan, satu kenyataan media berhubung kejadian itu akan dikeluarkan oleh Perhilitan dalam masa terdekat.