Bentang laporan tahunan SPRM terus ke Parlimen

Iklan
Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencadangkan laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibentang terus ke Parlimen untuk dibahaskan.

Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Menangani Rasuah (JKMR) di bawah SPRM, amalan kebiasaan iaitu laporan tahunan SPRM perlu dibentangkan dulu kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sudah tidak sesuai.

Iklan
Iklan

Jelasnya, amalan mengemukakan laporan kepada pihak LPPR dan JKMR sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen perlu diubah.

"Jika laporan Suhakam boleh terus dibentang dan dibahaskan di Parlimen, mengapa tidak kepada laporan SPRM?

Iklan

"Jika laporan tahunan Ketua Audit Negara boleh terus dibentang dan dibahaskan di Parlimen, maka mengapa tidak kepada laporan tahunan SPRM," soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, laporan SPRM itu perlu secara terus di bawa ke Dewan Rakyat serta di Dewan Negara untuk dibentangkan dan dibahaskan dalam usaha menangani rasuah.

Iklan

Selepas dibentang dan dibahaskan di Parlimen katanya, tiga panel pemantau yang dibentuk di bawah Akta SPRM 2009 perlu membuat kerja-kerja susulan lebih terperinci dan menyeluruh.

"Ini pada akhirnya membolehkan JKMR mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri untuk memenuhi fungsinya di bawah seksyen 14(1)(a) iaitu menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia," katanya.