Inilah politik: Tok Mat

Iklan
Mohamad Hasan

SEREMBAN –"Dalam usaha untuk merawat, memulih dan membangunkan semula parti, Umno memerlukan kepimpinan yang berprinsip dan bermoral," kata Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata Umno akan terus lemah tanpa pemimpin berprinsip dan mempunyai wibawa moral yang utuh.

Iklan
Iklan

"Ia hanya akan kembali pulih jika kita boleh mencari pemimpin yang percaya bahawa berpegang kepada prinsip adalah perjuangan yang sebenar-benar perjuangan. Telah tiba masanya kita mencari mereka yang yakin dengan ideologi Umno yang hakiki iaitu memperjuangkan politik pertengahan yang akan membuahkan kebaikan kepada bangsa Melayu tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain.

"Hanya mereka yang percaya dengan prinsip ini, meyakini ideologi ini, dan menjiwai pemikiran ini, akan mampu memberikan kepimpinan berwibawa untuk bangsa Melayu dan Malaysia yang berkemajuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Iklan

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Umno kehilangan enam ahli Parlimennya yang dilaporkan telah mengumumkan keluar daripada parti hari ini.

Mohamad berkata tindakan kesemua ahli Parlimen Umno itu adalah sangat menyedihkan.

Iklan

"Tetapi inilah politik... masing-masing ada perhitungan dan rancangan sendiri dan kita harus menghormatinya. Tiada paksaan dalam sebarang perjuangan dan kesetiaan bukan sesuatu yang kita boleh tuntut daripada sesiapa pun.

"Tetapi sesuatu yang mesti ada dalam perjuangan ialah prinsip. Perjuangan tanpa prinsip ialah perjuangan yang rapuh dan pasti tidak berkelangsungan,” katanya. - Bernama.