Wan Junaidi, Nur Jazlan, Mujahid angkat sumpah Ahli Dewan Negara

Iklan
Dari kanan: Nur Jazlan, Wan Junaidi dan Mujahid angkat sumpah Ahli Dewan Negara pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dua bekas menteri dan seorang bekas timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara pada Isnin.

Mereka ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Iklan
Iklan

Wan Junaidi dan Nur Jazlan mendapat lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala Mujahid adalah pilihan Dewan Undangan Negeri Perak pada 25 Mei lepas.

Ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, Wan Junaidi berkhidmat dalam portfolio undang-undang bermula 2021 hingga 2022.

Iklan

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada 2008 hingga 2013.

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak pula adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dari 2018 hingga 2020 manakala Nur Jazlan pula pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 2015 hingga 2018.

Iklan

Dewan Negara bersidang selama enam hari bermula Isnin. - Bernama