Fisol dilantik Ketua Polis Kedah baharu

Iklan
Azri (tengah) menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Kedah daripada Wan Hassan (kiri) kepada Fisol di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Selasa.

Wan Hassan yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Kedah sejak Januari 2022 diberi peranan baharu sebagai Komisioner Polis Pentadbiran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman.

ALOR SETAR - Bekas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh dilantik sebagai Ketua Polis Kedah baharu bagi menggantikan Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkuat kuasa pada Selasa.

Majlis serah tugas disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Azri Ahmad di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Iklan
Iklan

Wan Hassan yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Kedah sejak Januari 2022 diberi peranan baharu sebagai Komisioner Polis Pentadbiran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman.

Azri dalam ucapannya berkata, kenaikan pangkat serta pelantikan ini dibuat secara bijaksana setelah mempertimbangkan kredibiliti dan daya kepimpinan yang dimiliki oleh Fisol untuk menggendong tanggungjawab serta meneruskan legasi kepimpinan tertinggi kontinjen Kedah sebelum ini.

Iklan
Azri (kiri) melaksanakan upacara pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Fisol sebelum majlis serah terima tugas berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Selasa.

Menurutnya, kontinjen Kedah dan PDRM sudah pastinya amat terhutang budi di atas segala daya usaha serta gaya kepimpinan yang tegas dan berkesan yang telah Wan Hassan berikan selama berkhidmat di sini.

"Semoga semangat serta daya kepimpinan cemerlang Wan Hassan akan dicurahkan pula di tempat baru. Sebagaimana kita sedia maklum, beliau telah diberi kepercayaan untuk menabur bakti sebagai Komisioner Polis Pentadbiran di jabatan Pengurusan, Bukit Aman," ujar beliau lagi.

Iklan

Sebelum memberikan ucapan, Azri melaksanakan upacara pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Fisol sebelum majlis serah terima tugas berlangsung.

Pada majlis sama, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kedah antara Datin Sarihah Jusoh dengan Datin Norli Ahmad juga turut diadakan.

Fisol, 56, berasal dari Jitra telah berkhidmat selama 37 tahun di dalam pasukan beruniform tersebut sehingga hari ini.

Beliau mula menyertai PDRM pada 1986 dan pernah memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas) dari 2019 hingga 2020 dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dari 2020 hingga 2021.