Terengganu benam Perak di Ipoh

Iklan
Norde (dua dari kanan) cuba melepasi kawalan pemain Perak FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu. - Foto Bernama

HASRAT Perak FC melakar kebangkitan di bawah jurulatih sementara, Yusri Che Lah tidak kesampaian apabila tewas kepada Terengganu FC (TFC) 0-3 dalam aksi Liga Super di laman sendiri, Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Para peminat skuad The Bos Gaurus mengharapkan pasukan kembali bangkit selepas merehatkan Datuk Lim Teong Kim, namun mereka memulakan perlawanan dengan langkah kiri.

Iklan
Iklan

Dalam aksi itu pasukan pelawat mendahului menerusi Adisak Kraisorn pada minit keenam selepas penjaga gol Perak FC, Bryan See gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Pasukan tuan rumah cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan, namun skuad Peteh menambah gol kedua menerusi Sony Norde pada minit ke-16 selepas menerima hantaran Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Iklan

Memasuki babak kedua, Perak FC menggandakan asakan untuk merapatkan jurang gol, namun terus buntu untuk memecah benteng pasukan pelawat.

Gol yang dicari hampir digapai, malangnya percubaan Luciano Guaycochea pada minit ke-46 tersasar daripada gawang gol lawan.

Iklan

Keghairahan Perak FC mengasak, memaksa jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner membawa masuk tenaga baharu, Jordan Mintah dan Engku Nur Shakir Engku Yaacob.

Ternyata percaturan itu berbaloi apabila Mintah mudah menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Norde pada minit ke-73 bagi melengkapkan kemenangan selesa 3-0 TFC ke atas Perak FC.