Kaji semula peranan ISN - Subahan

Iklan
Subahan. - Foto Bernama

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menyarankan supaya khidmat kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) diperluaskan kepada skuad wanita dan remaja negara dan bukan hanya semata-mata untuk pasukan senior lelaki kebangsaan dalam Program Podium.

Justeru, KHM meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula semula peranan ISN dalam membantu latihan skuad kebangsaan pelbagai peringkat dalam menghadapi kejohanan antarabangsa.

Iklan
Iklan

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, setakat ini hanya skuad lelaki kebangsaan layak menikmati bantuan penuh daripada ISN di bawah Program Podium manakala skuad kebangsaan wanita dan remaja tidak menerima khidmat badan induk itu.

"Apabila pasukan pergi ke luar negara...hanya terdapat kuota empat atau lima petugas sains sukan mengikuti skuad kebangsaan manakala kami memerlukan sekurang-kurang 10 petugas,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Iklan

Subahan juga berkata, KHM terpaksa menanggung sendiri elaun seperti makanan dan penginapan untuk petugas ISN seperti tukang urut, jurulatih fizikal serta pakar nutrisi yang berkhidmat untuk pasukan skuad lelaki kebangsaan walaupun mereka juga berjuang demi negara di pentas antarabangsa.

Memandangkan KHM berdepan isu kekurangan petugas ISN yang sering bertukar ganti, beliau berkata, mereka terpaksa mengambil langkah melantik dua individu dari luar negara sebagai jurulatih fizikal masing-masing bagi skuad lelaki kebangsaan dan remaja lelaki yang bakal menghadapi saingan Piala Dunia Remaja 2023 dari 5 hingga 16 Disember di Kuala Lumpur.

Iklan

Selain fokus kepada program 'Road to Gold' (RTG), Subahan pada masa sama berharap agar ISN dapat juga memberi tumpuan menyokong atlet lain yang memerlukan bantuan sains sukan khususnya mereka yang menghadapi temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September, ini, serta kejohanan peringkat dunia lain tahun ini.

RTG merupakan projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik bermula di Paris 2024.

Sementara itu, beliau juga mengharapkan agar ISN diberi peruntukan khas untuk melabur dalam pembelian peralatan latihan berteknologi tinggi seiring dengan kemajuan sains sukan yang menjadi elemen penting kejayaan seseorang atlet atau pasukan dunia ketika ini. - Bernama