Pesanan terakhir Allahyarham Abu Hassan Din

Iklan
Abu Hassan Din

CERAMAH dan pesanan terakhir Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz di Surau An-Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Negeri Sembilan malam kelmarin pastinya kekal dalam ingatan jemaah.

Walaupun tajuk utama ceramahnya berkaitan Ramadan, tetapi banyak teguran diberikan bagi memastikan umat Islam memberi keutamaan bagi perkara wajib dalam beribadat.

Iklan
Iklan

Berikut adalah sedutan ceramah yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Audiokuliah:

Kita panjat kesyukuran setinggi-tinggi kepada ALLAH kerana pada malam ini, kita dipertemukan dalam satu majlis yang dianggap sebagai satu taman di antara taman-taman syurga.

Iklan

Apa yang penting, kita diberitahu bahawa orang yang duduk dalam majlis ilmu, di atas kepala sekarang ini sedang dinaungi sayap-sayap malaikat.

Malaikat berebut membuka sayapnya menaungi majlis kita pada malam ini. Insya-ALLAH sepanjang kita duduk dalam majlis ini, selama itulah mendapat rahmat ALLAH.

Iklan

Saya ingin teruskan ceramah saya iaitu di ambang Ramadan dan kita hari ini tidak sampai beberapa hari lagi akan sambutnya.

Ramadan akan datang selepas habis bulan Syaaban. Syaaban datang selepas bulan Rejab habis. Tiga bulan beriringan dan ia adalah bulan istimewa dalam Islam sehingga Nabi Muhammad SAW sebut dalam satu hadis dengan sabdanya, Rejab itu bulan ALLAH, Syaaban bulan aku dan Ramadan adalah bulan umat-umatku.

Kata ulama hadis dhaif ini tidak boleh diguna pakai untuk istidlal dengan kata lain kalau nak berhujah dan berdalil, hadis dhaif tidak boleh diguna pakai.

Tapi, kalau sekadar ingin memberitahu atau beramal ia masih boleh diguna pakai. Hadis tetap hadis dan yang menjadi dhaif sebab sanad serta bukan matan. Sanad yang menyebabkan hadis menjadi dhaif dan siapa mereka ini.

Mereka ini ialah orang-orang yang meriwayatkan hadis Nabi Muhammad.

Ada enam orang sanad tetapi ulama hadis sebelum nak letakkan hadis itu dhaif, soheh atau marfuk, tiba-tiba ada seorang yang tidak dikenali. Maksudnya, dalam rangkaian sanad itu tadi, ada seorang tidak dikenali. Bila tidak dikenali menyebabkan hadis jadi dhaif.

Ketiga-tiga bulan ini ada malam istimewa yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Rejab ada satu malam yang istimewa iaitu malam apa (bertanya kepada jemaah dan berkata siapa tidak tahu pendek umur). Bulan Rejab ada malam Israk dan Mikraj. Sebab itu dikatakan Rejab ialah bulan ALLAH kerana ALLAH memilih bulan itu untuk bawa Nabi Muhammad dalam satu perjalanan hebat.

Habis Rejab, masuk bulan Nabi Muhammad iaitu Syaaban.

Ceramah terakhir Abu Hassan Din di Surau An-Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Negeri Sembilan malam kelmarin.

Berpandukan hadis, Aisyah pernah menyebut aku tidak pernah nampak Nabi berpuasa genap satu bulan melainkan hanya di bulan Ramadan. Aku tidak pernah nampak Nabi Muhammad berpuasa banyak hari dalam satu bulan melainkan Syaaban.

Dalam bulan Syaaban ada satu malam istimewa iaitu (bertanya sekali lagi kepada jemaah sama ada tahu atau tidak, kalau tidak tahu sah pendek umur dan tak lama dah) ada malam Nisfu Syaaban. Pada 15 Syaaban, kita digalakkan berpuasa sebab itu kalau Nabi Muhammad SAW jika tiada tugasan lain, Baginda beriktikad di masjid dan beribadat sepanjang malam.

Intai-intai

Pada bulan Ramadan ada satu malam paling istimewa iaitu malam Lailatul Qadar. Malam yang dianggap lebih baik daripada seribu bulan. Bila berlaku ALLAH tidak beritahu, cuma Nabi Muhammad beritahu kalau kamu nak, intai-intai pada malam 10 terakhir Ramadan.

Ketiga-tiga bulan ini disebut dalam hadis. Tapi cuma sebut Nabi Muhammad berpuasa genap di bulan Ramadan dan berpuasa banyak di bulan Syaaban. Bagaimana dengan bulan Rejab, Aisyah tidak sebut tentang itu. Ada kemungkinan Nabi Muhammad tidak berpuasa pada bulan Rejab dan ada kemungkinan Baginda berpuasa seperti hari biasa.

Kalau begitu, daripada mana datang amalan berpuasa tiga bulan berturut-turut. Tidak ada salah walaupun tidak ada nas dan hadis menyatakan tentang puasa tiga bulan berturut-turut. Puasa itu ibadah, lakukan sahaja tidak ada salah. Ijmak ulama cuma kata enam hari daripada satu tahun diharamkan berpuasa. Pertama, Syawal, kedua 10 Zulhijjah, tiga hari tasyrik dan hari syak. Sekarang ini tiada lagi hari syak kerana diumumkan di televisyen kepada semua.

Saidina Ali pada satu hari masuk ke masjid dan melihat seorang lelaki solat dekat-dekat dengan nak Maghrib. Ali kata, demi ALLAH aku yakin sekarang waktu Nabi Muhammad larang kita solat iaitu ketika matahari nak terbenam kerana waktu itu syaitan tengah berpesta. Tapi Ali tidak berani melarang kerana takut dianggap sebagai orang yang melarang orang lain berbuat baik.

Ulama fikah buat satu kaedah fiqhiyyah dengan menyatakan kita ini jangan terlalu tamak nak buat benda yang sunat kerana bimbang atau takut luput perkara yang wajib. Contohnya, sebulan seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab, kemudian masuk Syaaban dia berpuasa lagi sebulan dan akhir-akhir bulan sebelum masuk Ramadan, dia pengsan atau masuk wad. Bila masuk Ramadan, tapi bolehkah dia berpuasa dengan keadaan macam itu? Situasi ini memperlihatkan luput yang wajib dan tamak yang sunat.

Saya pernah ke Makkah, sampai di sana berjumpa dengan seorang hamba ALLAH pertama kali datang untuk mengerjakan haji. Dia beri salam dan dia tanya bila sampai, saya jawab baru sahaja dua hari. Orang itu kemudian berbangga kerana mengerjakan umrah tiga kali sehari. Dia buat tiga kali adakah itu wajib? Sebenarnya kerjakan umrah itu adalah sunat. Sampai 6 Zulhijjah, tersadai dalam wad. Bila tersadai dalam wad, boleh buat yang wajib tak?

Saya ini kalau perkara perlu ditegur, saya tegur. Baru-baru ini, saya diberitahu ada rakan meninggal dunia, jadi saya datang ke masjid berkenaan untuk solat jenazah. Sampai jenazah di masjid, masuk waktu solat Asar. Bilal azan dan imam pun solat, begitu panjang ayat dia baca. Wirid pun sama. Selesai sahaja saya terus pergi kepada imam dan cakap kalau ada jenazah tak perlu wirid, terus bawa jenazah ke depan. Wirid itu sunat tapi solat jenazah itu fardu kifayah.