Teroka potensi hab ekonomi, pelancongan pesisir pantai Selangor

Iklan
Cat Keong (lima dari kanan) bergambar bersama tetamu kehormat dan ahli Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pantai Selangor bergambar pada Majlis Malam Mesra Dewan Perniagaan Cina Pantai Selangor di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Tee, Pasir Penambang, pada malam Isnin.

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor dicadang meneroka dan membangunkan kawasan pesisir pantai di negeri ini sebagai hab ekonomi dan pelancongan terkenal sekali gus mampu menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam negara.

Naib Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pantai Selangor, Tan Cat Keong berkata, kawasan pesisir pantai Selangor terdiri daripada lima daerah merangkumi Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lima daerah itu dianggap sebagai 'kawasan emas' kerana mempunyai pelbagai tarikan dan sebagai destinasi pelancongan tersendiri.

"Selangor ini mempunyai pelbagai tempat menarik kerana tumpuan bukan hanya di Lembah Klang, tetapi juga di sepanjang pesisir pantai di negeri ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ditemui Majlis Malam Mesra Dewan Perniagaan Cina Pantai Selangor di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Tee, Pasir Penambang, di sini pada malam Isnin.

Cat Keong berkata, kawasan pesisir pantai Selangor merangkumi jarak sejauh 255 kilometer dari Sepang ke Sabak Bernam mempunyai produk pelancongan, namun kurangnya publisiti menyebabkan sesetengah kawasan itu kurang popular.

Iklan

Jelas beliau, limpahan ekonomi perlu dikembangkan di kawasan itu yang secara tidak langsung dapat menjana pendapatan penduduk setempat.

Tambahnya, pelancong luar negara misalnya ingin menerokai keindahan yang ada di sesebuah tempat di negeri ini.

"Begitu juga di Sekinchan yang mempunyai kepadatan penduduk kaum Cina dengan menawarkan pelbagai pilihan untuk mengenali lebih dekat budaya dan tradisi masyarakat Tionghoa," kata beliau.

Jelas beliau, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pantai Selangor tidak ketinggalan mempromosikan kawasan pesisiran pantai negeri ini melalui pelbagai pendekatan.

Katanya, terbaharu lebih 200 ahli persatuan itu dengan sebanyak 66 kenderaan mengadakan konvoi pada Ahad lalu bagi melihat sendiri produk pelancongan yang ditawarkan di lima daerah berkenaan.

"Kita mengadakan program dua hari satu malam dengan singgah di lima daerah ini untuk kita sama-sama menyokong industri pelancongan di negeri ini selain merapatkan hubungan antara ahli persatuan," ujarnya.