Guardiola harap pemain cedera sempat sembuh

Iklan
Guardiola. - Foto AFP

KEM Manchester City diselubungi keresahan ekoran kecederaan tiga tonggak ketika misi besar The Citizens memburu kejuaraan treble menjelang dua aksi final bulan depan.

Jurulatihnya, Pep Guardiola mendedahkan, Kevin De Bruyne, Jack Grealish dan Ruben Dias bergelut dengan masalah kecergasan menjelang aksi final Piala FA menentang Manchester United Sabtu ini.

Iklan
Iklan

Pemain tengah Belgium, De Bruyne, pemain sayap England, Grealish dan pertahanan Portugal, Dias tidak dapat beraksi ketika City kalah 0-1 di Brentford pada Ahad akibat kecederaan.

Jaringan tunggal Ethan Pinnock pada minit ke-85 menjadikan Brentford satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan City sebanyak dua kali musim ini dan ia yang kelima sejak Guardiola membimbing pasukan itu pada tahun 2016.

Iklan

"Ruben, Jack dan Kevin tidak dapat bermain. Saya percaya mereka akan sempat pulih tetapi mereka belum sedia untuk berlatih.

"Sebab itu anda hanya lihat mereka tidak bermain hari ini,” kata Guardiola.

Iklan

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang akan menentang Inter Milan dalam final Liga Juara-Juara pada 10 Jun, berada di landasan tepat untuk mengulangi kejayaan United pada tahun 1999 memenangi tiga trofi utama dalam semusim.

Bagaimanapun misi menewaskan seteru tetangga itu di Wembley hujung minggu ini akan terjejas sekiranya ketiga-tiga tonggaknya itu tidak sempat pulih daripada kecederaan mereka.

"Kami akan beraksi sedikit berbeza jika mahu menang. Setakat ini saya gembira dengan cara kami bermain.

"Saya katakan kepada pemain, anda sudah memenangi gelaran, nikmati cuti dua hari bersama keluarga dan kemudian kita akan bersedia untuk final yang pertama,” ujar Guardiola.