Punca bangunan KWSP terbakar masih dalam siasatan

Iklan
Anggota bomba memadam kebakaran bangunan KWSP di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada Isnin.

SHAH ALAM - Punca kebakaran melibatkan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pada Isnin masih lagi dalam siasatan.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam kenyataan berkata, pihaknya bersama Pacific Senior Living (Pacific) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan jabatan bomba bagi menentukan punca kebakaran dan menilai tahap kerosakan bangunan terbabit.

Iklan
Iklan

"KWSP mengumumkan bahawa kebakaran di bangunannya di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pagi tadi berjaya dipadamkan sepenuhnya tanpa sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas tindakan pantas dalam mengawal kebakaran sebelum ia menyebabkan kerosakan selanjutnya," kata kenyataan itu.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, bangunan itu tidak berpenghuni sejak kebakaran pertama yang berlaku pada Februari 2018 dan akan dibangunkan semula sebagai kemudahan kediaman warga emas oleh Pacific.

Pada Isnin, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, bangunan KWSP di Jalan Gasing, Petaling Jaya, sekali lagi dilaporkan terbakar.

Iklan

Ujar beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.39 pagi berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan bangunan KWSP di tingkat 4 dan tingkat 5, namun api berjaya dikawal oleh pihak bomba pada jam 11.08 pagi.

Bangunan sama pernah terbakar pada 2018.