Amang seksual: Ibu bakal didakwa bulan ini

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUALA SELANGOR - Wanita yang ditahan susulan dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya yang berusia 14 tahun akan didakwa bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan terhadap suspek berusia 33 tahun itu telah dilengkapkan dan pihaknya mendapat arahan untuk menuduh wanita berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor dan Dewan Undangan Bukit Melawati di sini, pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita direman lima hari bermula 3 Mei bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.

Iklan

Wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam, Kuala Selangor, pada 2 Mei lepas selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

Reman wanita tersebut disambung selama tiga hari hingga 10 Mei sebelum suspek diserahkan ke IPD Sungai Buloh untuk siasatan kes yang sama. - Bernama

Iklan