Kedudukan kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja mencemaskan

Iklan
Sumber foto Facebook MSN.

KEDUDUKAN kontinjen negara dalam pungutan pingat agak mencemaskan apabila kekal berada di tempat ketujuh selepas berakhir hari ketujuh temasya Sukan SEA 2023 pada Jumaat.

Berbaki lima hari sebelum temasya sukan Asia Tenggara itu melabuhkan tirai pada Rabu ini, kedudukan itu pastinya membimbangkan kerana kontinjen negara sering berada di kedudukan lima teratas dalam temasya dwitahunan tersebut.

Iklan
Iklan

Malaysia hanya dua kali berada di tempat keenam iaitu pada edisi Singapura 1983 dan Vietnam 2021 tahun lalu.

Dengan pungutan pingat yang masih perlahan pada Jumaat, kem negara sekadar meraih empat pingat emas, sekali gus menyaksikan Malaysia secara keseluruhan mengumpul 28 emas, 35 perak dan 60 gangsa.

Iklan

Kem taekwondo muncul pasukan terbaik apabila menyumbangkan dua pingat emas menerusi Nur Humaira Abdul Karim dalam acara poomsae individu wanita serta gandingan Nurul Hidayah Abdul Karim dan Jason Loo bagi kategori poomsae berpasangan campuran.

Dua lagi pingat emas yang diraih Malaysia adalah menerusi atlet wushu Tan Cheong Min dalam acara Taolu wanita (Nandao Nangun) serta pelumba berbasikal Nur Amirul Fakhruddin Mazuki yang mengungguli acara lebuh raya lepas beramai-ramai elit lelaki.

Iklan

Dalam pada itu, Malaysia turut menambah lima pingat perak dan sembilan gangsa pada hari ketujuh.

Selepas tamat saingan Jumaat, Vietnam kekal mendahului carta pungutan pingat dengan meraih 71 emas, 68 perak dan 78 gangsa, diikuti Thailand 60-43-67 manakala tuan rumah, Kemboja di tangga ketiga dengan 58-47-63. - Bernama