Cuaca panas tidak jejaskan paras air empangan di Perak

Iklan
'Paras air di keseluruhan empangan bermula tidak membahayakan bahkan ia masih dalam kawalan. - Gambar Bernama (Gambar kecil: Mohammad Nizar)

IPOH - Cuaca panas berpanjangan tidak menjejaskan paras air di beberapa empangan di Perak.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, laporan diterima mendapati paras air berada pada tahap maksimum.

Iklan
Iklan

"Paras air di keseluruhan empangan bermula dari Temenggor hingga Teluk Intan tidak membahayakan bahkan ia masih dalam kawalan.

"Pada masa sama, kita akan pastikan air yang diproses Lembaga Air Perak (LAP) cukup untuk kegunaan domestik dan pertanian," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Padang Awam Taman Lapangan Jaya di sini pada Sabtu.

Iklan

Tambah beliau, tiada keperluan untuk melaksanakan catuan air setakat ini ekoran bekalan yang disediakan adalah mencukupi.

"Cuma saranan saya kepada rakyat agar berhati-hati agar tidak terdedah dengan bahang panas selain banyakkan minum air," katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Mohammad Nizar berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam proses penilaian akhir sebelum menggantikan jambatan Enggor, Kuala Kangsar yang runtuh, Rabu lalu.

"Proses ini melibatkan LAP, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menilai jenis-jenis kerosakan dan reka bentuknya.

"Pihak berkaitan memberi tempoh antara 15 hingga 22 bulan untuk menyiapkan kerja pembinaan jambatan baharu itu," katanya.

Ditanya mengenai saranan penduduk yang mahu projek itu disiapkan segera, beliau menyarankan mereka untuk menggunakan laluan alternatif untuk masuk ke kawasan sejarah, Jambatan Victoria.

"Seandainya ada usaha-usaha percepatkan proses kita akan cuba sedaya upaya namun, buat masa ini saya lihat ia tidak terdesak sangat untuk guna laluan di Kampung Loh, hanya jauh sedikit.

"Persatuan pelancongan boleh bawa pelancong dengan menggunakan laluan tersebut," katanya.