Jalani Sidek sokong BAM hantar pemain muda ke Piala Sudirman

Iklan
Piala Sudirman

PENDEKATAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar senarai pasukan terdiri daripada pemain lama dan muka baharu tanpa melibatkan pemain profesional ke Piala Sudirman 2019 merupakan jalan terbaik untuk memberi pendedahan kepada pemain muda.

Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata beliau memberi sokongan penuh susulan langkah dilakukan BAM itu yang memberi peluang dan mengutamakan pemain muda untuk membuktikan keupayaan mereka.

Iklan
Iklan

"Saya sokong apa ditetapkan BAM (hantar pemain muda dan tidak senaraikan pemain profesional) kerana kalau kita ambil pemain profesional dalam keadaan begini di mana ranking yang terumbang-ambing, ia tidak akan menjana satu kejayaan pun kerana kita satu kumpulan dengan China dan India.

"Tetapi dengan pemain muda yang ada dan memang sepatutnya kita berikan pendedahan, inilah peluang mereka. Tanpa tekanan cubalah bermain sebaik mungkin kerana kita tidak mengharapkan mereka menang pun, sekurang-kurangnya peminat nampak di mana tahap pemain muda kita sekarang,” katanya.

Iklan

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penutup Program Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Selatan di sini hari ini.

Seramai 65 pelajar menyertai kem bakat itu yang merupakan satu program pengenalan asas sistem permainan betul dan bersistematik sukan badminton dan mencungkil bakat baharu berusia lapan hingga 12 tahun.

Iklan

Jalani yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1992 di Barcelona berkata beliau bersetuju dengan pendirian BAM tidak meletakkan sebarang sasaran pada Piala Sudirman yang bakal berlangsung pada 19 hingga 26 Mei ini di Nanning, China.

Beliau berharap pemain terpilih sudah bersiap sedia dan memperbaiki teknik permainan mereka untuk mempamerkan satu persembahan yang boleh membanggakan negara dan peminat sukan badminton tempatan.

"Mereka perlu perbaiki dan persembahkan keupayaan mereka dengan sebaiknya, barulah peminat nampak apa yang BAM buat relevan. Saya harap pemain buat ulang kaji tentang lawan mereka, begitu juga dengan jurulatih,” katanya.

Untuk rekod, BAM mengambil keputusan menghantar senarai pasukan yang terdiri daripada pemain lama dan muka baharu tanpa melibatkan pemain profesional termasuk Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

BAM menyenaraikan 20 pemain tetapi hanya akan membawa 16 pemain untuk beraksi pada kejohanan itu, dengan empat pemain diletakkan sebagai pemain gantian sekiranya berlaku kecederaan ke atas pemain sedia ada.

Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei diberi kepercayaan menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki manakala Goh Jin Wei, Soniia Cheah dan Lee Ying Ying dalam acara perseorangan wanita.

Gandingan Aaron Chia-Soh Woi Yik akan diberi tanggungjawab dalam acara beregu lelaki bersama Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Izzuddin Rumsani.

Beregu wanita pula menyaksikan BAM meletakkan kepercayaan kepada pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Chen Tang Jie akan bersaing dalam acara beregu campuran.- Bernama