Sokongan 148 ahli Parlimen masih utuh

Iklan
Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR- [KEMAS KINI] Sokongan 148 ahli Parlimen terhadap Kerajaan Perpaduan masih utuh walaupun berdepan dengan dakwaan kegoyahan sokongan terhadap kepimpinan sedia ada.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dakwaan kerajaan sudah hilang majoriti disifatkan sebagai perbuatan orang cemburu.

"Alhamdulillah, 148 ahli Parlimen yang menandatangani MoU (memorandum persefahaman) Kerajaan Perpaduan masih lagi kekal utuh.

"Biasalah, orang yang tidak senang dengan kekuatan dan keutuhan yang ada ini adalah orang yang cemburu," katanya dalam sidang akhbar berkenaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, di sini pada Jumaat.

Setiausaha Agung UMNO itu menambah, beliau akan memastikan komunikasi dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sentiasa berjalan.

Jelasnya, dalam Kerajaan Perpaduan, tiada mana-mana pihak yang mendominasi sebaliknya ruang sama rata diberikan kepada semua.

"Kita sudah ada banyak siri mesyuarat sebelum ini, maksudnya tiada 'one man show' atau satu parti mendominasi parti yang lain," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, wujud dakwaan berlakunya gerakan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhammad Faiz Na'aman misalnya, turut memberi bayangan bahawa gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.