Ubah suai paip PVC jadi bahan letupan

Iklan
Tangkap layar kejadian yang tular di media sosial Facebook. (Kanan: Amihizam)

KUALA LUMPUR - Tiga paip Polyvinyl Chloride (PVC) yang diubah suai menjadi bahan letupan meletup dalam kejadian di hadapan premis kedai di Tiara Mutiara 1, Off Jalan Puchong, Jalan Klang Lama, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu diterima pemilik kedai terbabit kira-kira jam 6 pagi selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan pihak polis menemui tiga paip PVC warna putih yang telah diubah suai menjadi bahan letupan.

"Siasatan pihak bomba, Unit Pemusnah Bom serta Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjumpai serpihan letupan di tempat kejadian dan tiga kesan cap jari," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mengesan pergerakan imej dua individu.

Tegasnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Tambahnya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit untuk hadir ke balai polis berdekatan.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.