Gangguan bekalan gula akibat penutupan sementara kilang

Iklan
Salahuddin (tengah) menjawab pertanyaan media mengenai kekurangan bekalan gula di Pantai Timur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Isnin. - Foto Bernama

SEPANG - Gangguan bekalan gula di Pantai Timur telah pulih dan dikenal pasti berpunca daripada penutupan sementara kilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd di Johor dan Perai, Pulau Pinang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam sidang media mengenai isu bekalan gula di Pantai Timur di sini pada Isnin, beliau berkata, kilang terbabit ditutup sementara sempena sambutan Aidilfitri dan telah beroperasi semula pada 25 April lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama rapat dengan dua kilang pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bagi memastikan isu gangguan bekalan gula itu diatasi segera.

Media baru-baru ini melaporkan kegusaran dalam kalangan rakyat Kelantan susulan kesukaran mendapatkan bekalan gula paket satu kilogram (kg) yang didakwa tiada di pasaran sejak 22 April lepas.

Iklan

Semalam, Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail dilaporkan berkata pihaknya telah mengagihkan 250,000kg gula kepada sejumlah besar pasar raya termasuk pengagihan secara berperingkat kepada pemborong dan peruncit bagi memastikan isu kekurangan bekalan itu dapat diselesaikan dalam tempoh dua hari.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol kekal bagi tempoh 8 Mei hingga 7 Jun ini.

Iklan

Harga minyak masak botol bagi satu kg kekal pada harga RM6.90, 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg pada harga RM30.90, yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) (No.7) 2023.

"Secara umumnya terdapat kenaikan harga sawit mentah untuk bulan April berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000 per tan metrik. Kenaikan ini menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen.

"Bagaimanapun, bagi mengelak bebanan kepada rakyat dan pengguna kerajaan bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh berkenaan,” katanya. - Bernama