Polis akan panggil penganjur berkaitan himpunan haram

Iklan

KUALA LUMPUR - Penganjur dua perhimpunan haram dipercayai melibatkan lebih 200 individu di ibu kota pada Isnin akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, perhimpunan berkenaan dikesan diadakan bermula kira-kira jam 10 pagi sehingga jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Hasil pemerhatian yang dibuat mendapati himpunan pertama melibatkan kira-kira 200 individu manakala himpunan kedua melibatkan kira-kira 30 individu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua penganjur himpunan berkenaan untuk dirakam keterangan.

Iklan

"Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut," katanya.

Iklan

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang ditetapkan dan tidak terlibat dengan mana-mana himpunan yang tidak sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan.

Pada Isnin, himpunan dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dipercayai tidak mendapat kebenaran diadakan di dua lokasi iaitu di hadapan Bangunan Maju Junction dan di hadapan pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.