Wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran

Iklan
Kebakaran melibatkan dua rumah dua tingkat binaan batu bata dan kayu termasuk rumah mangsa. - Foto JBPM

BALING - Seorang wanita warga emas ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiaminya berhampiran Taman Seri Baling di sini terlibat dalam kebakaran pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, mangsa yang maut dikenali sebagai Lim Phaik Luang@Lim Pek Aiee, 82, dan mayatnya dijumpai pada jam 12.45 tengah malam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kebakaran itu melibatkan dua rumah dua tingkat binaan batu bata dan kayu termasuk rumah mangsa namun sebuah lagi tidak berpenghuni semasa kejadian berlaku.

"Semasa kejadian, mangsa seorang ibu tunggal tinggal seorang diri dan dia dipercayai terperangkap di dalam rumah semasa kebakaran.

Iklan

"Pegawai penyiasat telah dimaklumkan oleh pihak bomba yang rumah dua tingkat berkeluasan 20x40 kaki itu terbakar 90 peratus. Jarak antara kedua-dua rumah lebih kurang lima meter," katanya.

Shamsudin berkata, laporan awal yang diperoleh daripada pasukan bomba mendapati kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas dan setakat, ini tiada unsur jenayah dikesan namun siasatan lanjut diteruskan bagi mencari faktor sebenar kejadian itu berlaku.

Iklan

Beliau berkata, mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat yang dijangka dilakukan petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah pula berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.53 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

"Api berjaya dikawal dalam operasi memadam kebakaran tersebut pada 12.54 tengah malam manakala operasi memadam api tamat sepenuhnya pada 5.16 pagi," katanya. - Bernama