Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

Iklan
Kesan serangan udara di kampung Pazigyi di Perbandaran Kanbalu di Wilayah Sagaing, Myanmar. Foto: AP

BANGKOK - Sekurang-kurangnya 100 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara tentera di Myanmar, menurut laporan media dan saksi.

Tentera melancarkan roket ke perbandaran Pazigyi di wilayah Sagaing pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Iklan
Iklan

Roket itu dilancarkan ketika upacara pembukaan pejabat baharu Angkatan Pertahanan Rakyat antijunta di situ. Ramai penduduk kampung dilaporkan datang ke bandar untuk menghadiri majlis berkenaan.

Pertempuran sengit juga dilaporkan tercetus di kawasan itu baru-baru ini antara tentera dan kumpulan bersenjata yang menentang junta.

Iklan

Myanmar diperintah junta tentera selepas rampasan kuasa pada Februari 2021.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam sekeras-kerasnya serangan pada Selasa itu dan meminta mereka yang melakukannya supaya bertanggungjawab.

Iklan

Laporan media menunjukkan Pazigyi kini dalam keadaan huru-hara. Menurut saksi, jumlah kematian mungkin akan meningkat.

Penduduk berkata tentera menunggu upacara bermula bagi melancarkan serangan udara dan gambar yang disiarkan di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan.

Kerajaan bayangan antijunta di Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional dalam satu kenyataan menyifatkan serangan itu sebagai"perbuatan keji" dan bukti keganasan junta terhadap orang awam yang tidak bersalah. - Bernama