Projek ECRL Terengganu capai 55.21 peratus

Iklan
Projek ECRL di Terengganu telah mencapai tahap kemajuan 55.21 peratus.

KUALA TERENGGANU - Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu telah mencapai tahap kemajuan 55.21 peratus, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Darwis berkata, setakat ini kerja-kerja pembinaan jajaran sepanjang 275 kilometer (km) di negeri itu menepati jadual yang ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia merangkumi pembinaan enam stesen iaitu Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasik yang berfungsi sebagai stesen penumpang manakala Dungun dan Chukai bagi tujuan penumpang serta kargo.

"Laluan sepanjang 275km di Terengganu adalah yang terpanjang berbanding tiga negeri lain iaitu Kelantan, Pahang dan Selangor," katanya ketika berucap pada majlis Iftar Bersama ECRL di sini, malam Ahad.

Iklan

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

Darwis berkata, apabila projek berkenaan siap kelak, perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu dijangka hanya mengambil masa dua jam setengah berbanding lima hingga enam jam dengan menaiki kereta.

Iklan

Sementara itu pada majlis iftar malam tadi, seramai 20 anak yatim dari Asrama Puteri Pra Tahfiz Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Terengganu (Perkaya) diraikan pihak ECRL.

Selain sumbangan duit raya kepada anak yatim, ECRL turut menyampaikan cek sumbangan RM3,000 kepada wakil Asrama Puteri Pra Tahfiz Perkaya Kuala Terengganu. - Bernama