Peniaga didakwa perdagang dua wanita untuk seks

Iklan
Muhammad Soleh (tengah) diiringi polis di mahkamah.

SEREMBAN - Seorang pemilik kedai bingkai gambar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia bagi maksud eksploitasi seks antara November 2022 hingga 11 Mac lalu.

Tertuduh Muhammad Soleh Abdullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Datin Surita Budin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah memperdagangkan dua wanita warga Indonesia berusia 28 dan 34 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Kesalahan itu dilakukan di antara bulan November 2022 sehingga 11 Mac 2023 jam lebih kurang 11.50 malam di sebuah rumah di Taman Khaya 2, Bahau, Jempol.

Iklan

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Peguam, M Gobunatgan merayu jaminan munasabah dapat diberikan kepada tertuduh atas alasan pendapatannya hanya RM2,000 sebulan dan perlu menanggung ibu bapa.

Iklan

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Selain itu tertuduh juga diarah tidak menganggu saksi sehingga kes selesai serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Surita menetapkan 9 Mei bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.