Tol terbuka Jambatan Pulau Pinang, BKE menjelang September

Iklan
PLUS sedang membuat persiapan bagi mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kredit di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE). - Gambar hiasan

GEORGE TOWN - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang membuat persiapan bagi mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kredit di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), dekat sini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam merealisasikan matlamat itu menjelang September ini.

Iklan
Iklan

"PLUS menyambut baik kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berhubung bayaran tol secara terbuka mengguna kad debit atau kredit di beberapa lebuh raya termasuk Jambatan Pulau Pinang itu.

"Kami sedang giat membuat persiapan untuk mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kad kredit di lorong sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), selain e-Wallet Touch 'n Go di Jambatan Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Pada masa yang sama di BKE, persediaan sedang dibuat bagi menguji sistem pembayaran terbuka menggunakan kad kredit atau debit di Plaza Tol Kubang Semang.

Pelaksanaan pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kredit itu dijangka memberikan lebih pilihan kepada pengguna lebuh raya apabila dilaksanakan kelak.

Iklan

Katanya, PLUS sentiasa bersedia meneroka dan menguji kaedah-kaedah pembayaran tol yang lebih mudah dan memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

Pada Rabu,, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi cadangan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di Lebuhraya Utara-Selatan, minggu depan.

Alexander turut memaklumkan beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini untuk membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (DUKE), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang. - Bernama