Minta ziarah kubur anak petanda ajal

Iklan
Ramlah menunjukkan gambar Allahyarham Che Suriani dan sebelah kiri merupakan cucunya yang juga anak sulung Allahyarham, Mohd Rizal Rayyan.

MACHANG -"Kami tidak sangka dia 'pergi' semalam selepas membuat permintaan ziarah kubur anak keduanya kelmarin," kata ibu mangsa kemalangan maut di Kampung Bukit Bakar di sini.

Ramlah Mohd Rahim, 60, berkata, arwah anaknya, Che Suriani Mahmod, 22, memintanya menemani untuk ziarah kubur anaknya, Nara Sofia Mohd Amir (yang juga cucu Ramlah) yang meninggal dunia dua tahun lalu.

"Saya menasihatkannya supaya pergi hari ini (Khamis) tetapi ternyata dia 'pergi' bersama anak dalam kandungannya yang berusia lima bulan," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut Ramlah, beberapa minggu lalu Che Suriani yang dijangka bersalin pada Julai kerap menghubunginya dan membuat beberapa permintaan yang sebelum ini tidak pernah dilakukan.

"Dia juga seolah-olah mahu bermanja dan meminta saya menghantar mi segera kerana terlalu teringin menikmati makanan itu.

Iklan

Ramlah memberitahu, Che Suriani turut berpesan supaya dia menjaganya sepanjang tempoh berpantang.

"Beberapa hari lalu, dia juga ada berbincang dengan adik-beradik lain untuk membeli baju baharu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Iklan

Berkongsi mengenai kemalangan yang menimpa Che Suriani, Ramlah berkata, dia dimaklumkan anaknya dalam perjalanan ke rumahnya dengan menunggang motosikal.

"Dia turut membawa anak sulungnya berusia empat tahun, Mohd Rizal Rayyan Mohd Amir namun mereka tidak sempat sampai ke rumah saya.

"Saya menerima berita kemalangan itu daripada kakak ipar Che Suriani dan terus bergegas ke tempat kejadian sebelum pergi ke Hospital Machang," katanya.

Jelasnya, Che Suriani bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala anak sulungnya dirawat sebagai pesakit luar dan mengalami luka di bahagian badan.

Allahyarham Che Suriani dikebumikan bersebelahan kubur anak keduanya di Tanah Perkuburan Islam Machang kira-kira jam 11.30 pagi Khamis.

Media pada Khamis melaporkan seorang wanita hamil lima bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di Jalan Kemuning-Bukit Bakar malam Khamis.