Murid teruja disambut Bumblebee, Mickey & Minnie

Iklan
Mohamad Fauzi (tiga dari kanan) bersama 'Bumblebee' yang menyambut kehadiran murid pada hari pertama sesi persekolahan di SK Meru Raya di sini pada Isnin.

IPOH - Hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya di sini nyata memberi keterujaan buat muridnya apabila mereka disambut figura kartun Bumblebee, Mickey Mouse dan Minnie Mouse.

Seawal jam 6.30 pagi, murid-murid hadir ditemani ibu bapa turut teruja apabila anak-anak mereka disambut watak-watak kartun berkenaan bersama guru-guru.

Iklan
Iklan

Turut hadir menyantuni murid-murid pada hari pertama persekolahan itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Mohamad Fauzi Mahson.

Mohamad Fauzi (duduk, tengah) menyantuni murid prasekolah SK Meru Raya, di sini sempena hari pertama sesi persekolahan pada Isnin.

Menurut Mohamad Fauzi, di Perak seramai 342,482 pelajar memulakan sesi persekolahan pada hari ini di 1,105 sekolah di seluruh daerah.

Iklan

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 191,260 orang merupakan pelajar sekolah menengah manakala 151,222 orang lagi murid sekolah rendah.

"Saya ucapkan terima kasih kepada sekolah-sekolah yang telah pun melaksanakan pembukaan dan memastikan semua berjalan lancar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Meru Raya di sini pada Isnin.

Iklan

Mohamad Fauzi berkata, operasi pembukaan sekolah di Perak melibatkan kerjasama seramai 37,328 orang guru terdiri daripada 20,441 orang di sekolah rendah dan 16,887 orang di sekolah menengah.

Mohamad Fauzi (tengah) bersama 'Mickey Mouse' dan 'Minnie Mouse' yang menyambut kehadiran murid pada hari pertama sesi persekolahan di SK Meru Raya di sini pada Isnin.

Katanya, bagi murid tahun satu, seramai 24,091 yang mendaftar di negeri ini manakala seramai 24,916 orang pelajar pula mendaftar di tingkatan satu.

Tinjauan Sinar Harian di SK Meru Raya mendapati perjalanan hari pertama persekolahan lancar dengan majoriti murid sudah bersedia mengikuti aktiviti disediakan pihak sekolah.

Ibu bapa juga mengambil kesempatan merakam gambar dan video anak masing-masing bersama maskot kartun yang disediakan pihak sekolah.