JDT tiada masalah lepaskan pemain - TMJ

Iklan
Tunku Ismail berkenan menghadiri sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu. Foto: Bernama

PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan sepenuhnya sokongan dan keizinan kepada pemain pasukan Harimau Selatan itu menyertai skuad kebangsaan.

Menurut Tunku Ismail, tiada halangan untuk pemain JDT menyertai kem latihan pusat atau perlawanan yang diadakan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Iklan
Iklan

Malah, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sentiasa sedia membantu dengan membenarkan pasukan negara menggunakan fasiliti yang terdapat di JDT.

"Dalam kalendar FIFA atau mana-mana pertandingan FIFA, saya bukan saja memberi pemain-pemain tetapi saya sedia menawarkan kepada pasukan kebangsaan teknologi atau fasiliti yang ada di JDT.

Iklan

"Malam ini, mereka (pasukan negara) ada latihan di pusat latihan JDT. Jika untuk membantu pasukan kebangsaan, saya memang positif daripada awal sehingga ke hari ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Skuad Harimau Malaya ketika ini sedang menjalani latihan pusat untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Iklan

Seramai 11 pemain JDT menyertai kem latihan pusat kali ini yang berlangsung dalam kalendar FIFA.

Ia situasi yang berbeza berbanding ketika saingan Piala AFF tahun lalu yang menyaksikan hanya Safawi Rasid dari pasukan JDT yang menyertai pasukan kendalian Kim Pan-gon itu.