RUU kesalahan menghendap dibentang

Iklan
Azalina Othman. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, bertujuan memasukkan peruntukan kesalahan menghendap dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Iklan
Iklan

Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

Seksyen itu menyebut sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

Iklan

Menurut rang undang-undang itu, sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Turut dibentangkan, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 yang antara lain bertujuan meminda Jadual Pertama kepada Akta 593 berbangkit daripada kemasukan kesalahan baharu menghendap ke dalam Kanun Keseksaan.

Iklan

Bacaan kedua bagi kedua-dua rang undang-undang itu dijadual dibentang pada sidang kali ini. - Bernama.