Gaji penjawat awam: PM arah JPA bincang dengan Cuepacs

Iklan
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneruskan perbincangan bersama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai isu gaji dan upah penjawat awam serta hal berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed ketika Cuepacs melakukan kunjungan hormat terhadap KPPA baharu itu pada Khamis, yang turut membincangkan banyak perkara mengenai perkhidmatan awam dan warganya.

Iklan
Iklan

Adnan berkata, Cuepacs dimaklumkan perdana menteri sudah mempunyai perancangan dalam soal kadar gaji dan upah penjawat awam agar mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang selesa dan sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Adnan berkata, permintaan penjawat awam untuk kerajaan menilai semula kadar gaji dan upah perkhidmatan awam sememangnya berasas berikutan kos sara hidup ketika ini meningkat dengan begitu drastik.

Iklan

"Komitmen perdana menteri untuk melihat semula isu kadar gaji dan upah untuk perkhidmatan awam apabila kewangan negara bertambah baik kelak sesungguhnya memberi harapan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam," katanya.

Cuepacs dalam pada itu menyeru warga perkhidmatan awam agar dapat bersabar buat sedikit masa untuk memberi ruang kepada kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang menghimpit penjawat awam terutama dalam hal melibatkan peningkatan kos sara hidup.

Iklan

Dalam masa yang sama, Adnan berkata, Cuepacs yakin dengan gandingan kepimpinan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Zulkapli dalam membawa suara dan aspirasi penjawat awam untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

Beliau berkata, keterbukaan KSN dan KPPA mendengar pandangan daripada Cuepacs mengenai permasalahan penjawat awam dalam setiap sesi libat urus amat dihargai.

"Cuepacs berharap KSN dan KPPA akan terus berunding dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membantu menyelesaikan isu dan permasalahan penjawat awam terutama dalam hal melibatkan peningkatan kos sara hidup serta kadar gaji yang setimpal," katanya. - Bernama.