SPRM gempur pejabat mewah jadi pusat panggilan scammer

Iklan
Pasukan Khas Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML), SPRM sedang memeriksa barangan yang dirampas.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu sebuah pejabat mewah di sini yang akan dijadikan pusat panggilan oleh sindiket penipuan pelaburan dan mata wang kripto.

Serbuan Op Tropicana diketuai Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin itu adalah hasil perisikan dan temubual individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah bangunan di sekitar Lembah Klang pada minggu lalu.

Iklan
Iklan

Dalam serbuan jam 12.15 tengah hari Selasa, Pasukan Khas Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML), SPRM menemui pelbagai peralatan antaranya set komputer, pelayan internet, peralatan pejabat dan pelbagai kelengkapan dipercayai akan digunakan bagi tujuan mencari mangsa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pejabat itu turut dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sudut sehingga mencecah 12 unit bagi sesebuah ruang kerja malah kesemua tingkap ditutup dengan pelekat.

Iklan

Difahamkan, pejabat di tingkat 15 berkenaan sudah hampir 90 peratus siap diubahsuai dengan kos termasuk pelbagai kelengkapan komputer dianggarkan mencecah RM500,000.

Pejabat berkenaan dipercayai akan beroperasi dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi itu disyaki menjadi pusat panggilan sindiket penipuan antarabangsa.

Iklan
Pejabat dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sudut.

Sindiket berkenaan juga disyaki mensasarkan mangsa luar negara dan tidak menolak kemungkinan rakyat Malaysia turut menjadi mangsa menerusi iklan pelaburan di media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook.

Dua pengurup mata wang asing yang digunakan sebagai medium membawa masuk duit sindiket penipuan itu ke Malaysia turut ditahan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan reman terhadap 10 individu disyaki ahli sindiket penipuan pelaburan antarabangsa itu dilanjutkan empat hari untuk siasatan lanjut.

Antara peralatan dan komputer yang dirampas oleh SPRM.

Mohamad Zamri berkata, lanjutan reman terhadap kesemua suspek berusia 39 hingga 59 tahun itu bermula Isnin membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita terdiri daripada lima warga United Kingdom (UK), dua Filipina dan tiga warga tempatan.

SPRM sedang giat melengkapkan siasatan bagi tujuan pertuduhan dengan perintah reman enam hari sehingga 27 Februari dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan SPRM.

Sinar Harian sebelum itu secara eksklusif melaporkan Op Tropicana pada 21 Februari yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri berjaya melaksanakan 24 serbuan termasuk tiga pusat panggilan atau 'boiler room', syarikat serta kediaman ahli sindiket.

Sindiket dipercayai telah menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdaya untuk membuat pelaburan tidak wujud.

Penjenayah scammer ini dipercayai telah memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

Mereka dipercayai telah memperdaya mangsa dengan meyakinkan mereka supaya melabur ke dalam syarikat pelaburan yang tidak wujud dan syarikat tersebut hanyalah rekaan semata-mata.