Pas tuntut kerajaan perjelas maksud proses pemutihan perkhidmatan awam

Iklan
Takiyuddin Hassan - Foto Bernama

SHAH ALAM - Pas menuntut kerajaan menjelaskan maksud proses pemutihan dalam perkhidmatan awam seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan juga perlu diberikan sama ada perkara itu telah diputuskan oleh Kabinet dan apakah kapasiti Kian Ming mengeluarkan kenyataan tersebut.

Iklan
Iklan

"Perkara ini boleh memberikan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam dan pegawai serta kakitangannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan BN tak pernah zalimi penjawat awam: Asyraf Wajdi

Iklan

"Kami juga menuntut menuntut penjelasan adakah frasa proses pemutihan dalam perkhidmatan awam yang digunakan itu merupakan satu tindak balas kerajaan PH berhubung kedudukannya yang tidak mendapat dukungan dan sokongan daripada pegawai kerajaan tanpa terlebih dahulu memeriksa sebab serta puncanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Kian Ming mendedahkan, kerajaan akan meneruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

Iklan

Jelasnya, walaupun beliau tidak berhadapan dengan masalah untuk bekerjasama dengan kakitangan di kementeriannya, tetapi di kementerian lain masih berdepan kesukaran.

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut menggesa kerajaan menjelaskan beberapa isu melibatkan tindakan pimpinan kerajaan PH dan badan-badan di bawahnya yang jelas menampakkan pelanggaran undang-undang serta prosedur digunapakai dalam perkhidmatan awam selama ini.

"Antaranya, atas kapasiti apakah Ketua Menteri Pulau Pinang membuat kenyataan bahawa SPRM telah membersihkan pihak-pihak yang terlibat dalam isu projek pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dan tiga jalan yang bernilai RM6.3 bilion.

"Bukankah ini peranan dan fungsi SPRM? Lagipun, kini terdapat kes mahkamah melibatkan tuduhan di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan iaitu, menipu ke atas individu yang dikatakan ada kaitan dengan isu ini," katanya.

Takiyuddin turut mempersoalkan, mengapakah Jabatan Peguam Negara memfailkan Afidavit melalui Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam kes Inkues Pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mengesahkan mangsa tidak dipukul oleh mana-mana orang sedangkan prosiding masih lagi berjalan.

"Bolehkah kerajaan memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam tuduhan dan dakwaan rasuah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga sebahagian besar pegawai dan kakitangannya di Pulau Pinang ditangkap untuk siasatan lanjut.

"Kenapakah kes-kes rasuah dan jenayah yang melibatkan pimpinan kerajaan PH termasuk anggota keluarga mereka kelihatan tidak dikendalikan secara telus dan dilengah-lengahkan proses pendakwaan?," soalnya.

Tambahnya, penjelasan kerajaan dalam isu-isu dibangkitkan amat penting bagi menunjukkan sikap kerajaan berhubung apa yang dikatakan sebagai proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

"Kerajaan tidak seharusnya bertindak dan mabuk kuasa semata-mata untuk menutup kelemahan mereka sendiri dengan membalas dendam terhadap musuh-musuh politik PH sama ada yang berada dalam perkhidmatan kerajaan atau di luarnya.

"Dalam masa yang sama kerajaan tidak wajar bertindak seolah-olah memberi amaran kepada kakitangan awam supaya mereka hanya perlu menjadi pak turut kerajaan dalam semua keadaan sama ada betul ataupun salah," katanya.