Cuepacs diharap faham kekangan kewangan dihadapi kerajaan

Iklan
Ahmad Zahid - Foto Bernama

DUNGUN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diharap dapat memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, di sebalik kekangan itu kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi harapan dan permintaan penjawat awam.

Iklan
Iklan

"(Bayaran) emolumen umpamanya dan wang pencen yang terpaksa dibayar, itu adalah kos tetap yang harus ditanggung pihak kerajaan.

"Pada hemat saya, Perdana Menteri juga memberikan keprihatinan yang tinggi kepada permintaan penjawat awam termasuk memberikan bonus khusus RM700 dan RM350 kepada pesara untuk Aidilfitri ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Ibu Pejabat Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun pada Sabtu.

Cuepacs sebelum ini menzahirkan kekecewaan berhubung Belanjawan 2023 yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.

Iklan

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan bagi menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam.

"Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

"Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunakan ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.