NGO gesa tubuh RCI siasat isu curi REE

Iklan
Penduduk dan NGO mohon RCI diwujudkan untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh isu kecurian REE di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Enggang di Sik. (Gambar kecil dari kiri: Mahadzir dan Mohd Sobree)

Jumlah kerugian mungkin lebih besar kerana tempoh kecurian berlaku hampir dua tahun, mungkin mencecah angka ratusan juta ringgit - Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid

SIK - [DIKEMAS KINI] Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau satu tribunal siasatan khas bagi menyiasat secara terperinci dan menyeluruh isu kecurian nadir bumi, Rare Earth Element (REE) di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Enggang dekat sini.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid berkata, isu kecurian REE di kompartmen 12, 13 dan 14 itu perlu dilihat secara serius tanpa menyembunyikan salah laku, penyelewengan, rasuah atau salah guna kuasa sesiapa sahaja yang terlibat dalam isu ini.

Iklan
Iklan

"Jumlah kerugian mungkin lebih besar kerana tempoh kecurian berlaku hampir dua tahun, mungkin mencecah angka ratusan juta ringgit. Kami menggesa RCI atau tribunal siasatan khas ditubuhkan bagi melakukan siasatan menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Kampung Paya Terendam pada Sabtu.

Tambah Mahdzir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri juga perlu mengambil perhatian khusus berkenaan masalah kecurian khazanah yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri.

Iklan

Menurutnya, tindakan Muhammad Sanusi mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd dalam usaha penerokaan maklumat serta kepakaran bagi perlombongan REE di negeri ini didakwa tidak serius menjejaki dalang di sebalik kecurian REE yang jelas tidak mematuhi akta sedia ada.

"Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri mensasarkan perolehan hasil negeri pada 2023 melalui REE sebanyak RM600 juta menerusi Pembentangan Bajet 2023, sedangkan saya yakin beliau tahu bahawa kerja-kerja berkaitan pengambilan REE belum diluluskan oleh kerajaan pusat yang memerlukan pelbagai kajian terlebih dahulu.

Iklan

"Beliau seharusnya sedar bahawa kawasan yang disasarkan untuk kerja-kerja perlombongan itu merupakan kawasan HSK yang mana tertakluk kepada undang-undang, namun tindakan beliau membelakangi perundangan, angkuh, terburu-buru dan tidak bijak," ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Grass Chapter Kedah, Mohd Sobree Ramli berkata, pembalakan berskala besar yang berlaku di kawasan tersebut pada 2017 memberikan kesan terutamanya pencemaran sumber air bersih kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, perlombongan REE yang didakwa dijalankan di situ mampu menyebabkan kerosakan kesihatan kepada masyarakat dan alam sekitar yang besar.

"Majoriti penduduk sekitar bergantung sepenuhnya dari sumber air bukit kerana masalah gangguan bekalan air Syarikat Bekalan Air Bersih. (Namun) apabila berlaku pembalakan, sumber air bersih tercemar.

"Apabila perlombongan REE pula dijalankan di situ, radioaktif paras rendah daripada kehadiran torium dan uranium dalam unsur nadir bumi berpotensi mendatangkan bahaya dan pengendalian yang tidak sempurna boleh menyebabkan kerosakan kesihatan dan alam sekitar yang amat besar," katanya.

Penduduk dan NGO mohon RCI diwujudkan untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh isu kecurian REE di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Enggang di Sik. (Gambar kecil dari kiri: Mahadzir dan Mohd Sobree)

Sebelum itu, Mahadzir, Mohd Sobree serta pengamal-pengamal media bersama-sama penduduk kampung cuba meninjau kawasan tapak perlombongan REE namun hanya dibenarkan sehingga ke kawasan kaki bukit sahaja iaitu kawasan sempadan HSK Bukit Enggang.

Tinjauan di Sungai Jeneri juga mendapati air yang mengalir dari Bukit Enggang turut berubah warna dan penduduk mendakwa perkara tersebut berpunca daripada kegiatan perlombongan REE.

Pada 7 Februari lalu, seramai 52 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan penerokaan REE secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut dan operasi yang diketuai JPNK itu turut merampas peralatan dan mesin yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.