Luqman Hakim tak boleh patah semangat

Iklan
Luqman Hakim diumum secara rasmi sebagai pemain baharu Njardvik FC pada Selasa.

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak boleh patah semangat dan terus bekerja keras selepas berpindah secara pinjaman ke kelab Iceland, Njardvik FC.

Jurulatih berpengalaman, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, selagi Luqman Hakim berada di Eropah, ia tetap menjadi tempat terbaik untuknnya mengasah bakat dan pengalaman.

Iklan
Iklan

"Tahniah kepada Luqman Hakim. Selagi dia berada dalam dunia Eropah, ia tetap pentas terbaik. Saya ucapkan selamat maju jaya dan jangan putus asa. Kita tahu betapa tingginya mutu bola sepak di sana.

"Untuk pasukan Malaysia pergi lebih jauh, kita perlukan lebih ramai pemain berhijrah khususnya di Eropah untuk menimba pengalaman dan kukuhkan pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh berharap apa yang dilakukan Luqman Hakim menjadi motivasi kepada pemain muda untuk berani menimba pengalaman di luar negara.

"Memang itu satu pencapaian juga sebab dari Belgium pergi ke Iceland, maknanya kualiti dia orang pandang juga.

Iklan

"Kita kalau boleh nak lebih ramai pemain tempatan dan muda berhijrah supaya dapat pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Apabila balik ke negara sendiri, insya-ALLAH dapat menaikkan lagi mutu bola sepak kita," katanya.

Njardvik FC menerusi satu kenyataan pada Selasa mengumumkan telah mencapai persetujuan bersama KV Kortrijk untuk mendapatkan Luqman Hakim secara pinjaman sehingga penghujung tahun ini.

Pemain dari Kota Bharu itu sebelum ini menandatangani kontrak profesional bersama Kortrijk pada 2020 sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama bermain di Belgium.

Luqman Hakim membuat penampilan senior pertamanya untuk Kortrijk pada 24 Oktober 2020 ketika menentang Anderlecht selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74.

Namun, impian penyokong negara untuk melihatnya sering berada dalam kesebelasan utama tidak kesampaian selepas dia hanya beberapa kali diturunkan dalam beberapa perlawanan.

Ia sekali gus menimbulkan khabar angin bahawa dia akan berpindah dari kelab tersebut.