Tugas Ketua UMNO Bahagian Jempol dipangku Shamshulkahar

Iklan
Shamshulkahar

JEMPOL - Tugas Ketua UMNO Bahagian Jempol akan dipangku Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli selepas Datuk Mohd Salim Mohd Sharif digantung keahlian selama enam tahun oleh UMNO.

Shamshulkahar yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkata, ia selaras dengan arahan parti yang mahu beliau memangku tugas berkenaan sehingga selesai pemilihan.

Iklan
Iklan

"Arahan itu telah dikeluarkan oleh ibu pejabat parti dan kita akan mengikut semua prosedur ditetapkan dalam memastikan pemangkuan tugas berjalan lancar.

"Tugas tersebut akan digalas sehingga pemilihan bahagian diadakan tidak lama lagi," katanya pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shamshulkahar turut menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jempol.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting itu juga berpandangan sebagai ahli Parlimen, jika menjadi Ketua UMNO Bahagian akan memudahkan untuk menjalankan tugas berbanding jika ketua bahagian disandang oleh individu lain.

Iklan

Bagaimanapun Shamshulkahar berkata, ia tidak akan menawarkan diri bagi merebut jawatan lain di dalam UMNO berikutan mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap Parlimen dan UMNO bahagian.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tiada masalah membabitkan ahli UMNO berlaku selepas Mohd Salim yang juga bekas Ahli Parlimen Jempol digantung keahlian selama enam tahun.

"Alhamdulillah, keadaan ketika ini tenang di sini malah ahli kita kira-kira 28,000 dalam keadaan bersiap sedia bagi menjalankan mesyuarat dan pemilihan peringkat cawangan tidak lama lagi," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohd Salim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol antara empat pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan penggantungan selama enam tahun.

Turut digantung Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada UMNO.