'Konsep Malaysia Madani bukan retorik atau slogan semata-mata'

Iklan
Wan Azizah (dua dari kanan) melihat seni tulisan khat oleh Yusuf Liu Baojun (kiri) ketika melawat ke pameran pada majlis perasmian Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan (KOBAR) dan pelancaran Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) anjuran MAPIM di Jalan Raja, Kampung Manjoi hari ini. Foto Bernama

IPOH - Konsep 'Malaysia Madani' yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan retorik atau slogan semata-mata, kata isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Justeru, katanya, semua pihak perlu memahami makna di sebalik konsep 'Malaysia Madani' yang seterusnya mampu memberi kesan perubahan kepada rakyat secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Semua pihak perlu berganding bahu dalam menjayakan agenda tersebut. Perbezaan fahaman politik harus diketepikan dan bersama-sama membangunkan negara selari dengan 'Malaysia Madani'. Apa yang kita namakan, kita tidak mahu ia hanya menjadi sekadar kata-kata atau hanya slogan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita hendak merasakan impak konsep Malaysia Madani itu terutamanya di Parlimen Tambun ini yang merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri yang menjadi contoh dan penanda aras kepada seluruh Perak dan Malaysia khususnya," katanya.

Iklan

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan (KOBAR) dan pelancaran Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Jalan Raja Kampung Manjoi di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid.

Iklan

Perdana Menteri baru-baru ini memperkenalkan konsep 'Malaysia Madani' sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. - Bernama