Piala Asia cabaran sebenar Pan-gon

Iklan
Pan-gon.

BERAKHIRNYA Piala AFF 2022 baru-baru ini bermakna tumpuan skuad bola sepak negara kini terarah kepada persiapan untuk menghadapi saingan Piala Asia 2023 yang akan diadakan tahun depan.

Kejohanan tertinggi Asia itu dinilai sebagai gambaran sejauh mana skuad Harimau Malaya mampu mengatur langkah dengan idea dan taktikal jurulatih, Kim Pan-gon.

Iklan
Iklan

Harapan menggunung diletakkan peminat bola sepak negara selepas sentuhan pengendali Korea Selatan itu sejak mengemudi pasukan kebangsaan dilihat cukup positif dengan 11 kemenangan dalam 15 perlawanan yang dihadapi termasuk dalam aksi persahabatan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Pan-gon telah membawa satu perubahan ketara dalam corak persembahan pasukan bola sepak negara.

Iklan

Paling mencuri tumpuan, sudah tentu apabila beliau berjaya membantu Harimau Malaya menamatkan kemarau 43 tahun untuk layak ke pentas Piala Asia secara merit pada Jun tahun lalu.

Malah, beliau melakukan sesuatu yang disifatkan mustahil apabila membawa obor perjuangan tanpa khidmat pemain utama dalam saingan Piala AFF lalu.

Iklan

Kebijaksanaan Pan-gon menyusun taktikal menyaksikan skuad negara berjaya mara sehingga ke perlawanan separuh akhir Piala AFF walaupun pada peringkat awal tidak diberikan sebarang harapan.

Ia diakui jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang menyifatkan Pan-gon umpama tukang masak yang berjaya membentuk pasukan mantap walaupun tanpa ramuan cukup.

Bagi Azraai, pendekatan dan idea Pan-gon itu harus dipuji, malah tanpa gentar meniup semangat kepada pemain untuk menyahut seruan negara menampilkan aksi yang boleh dikatakan baik ketika berdepan pasukan kuat seperti Vietnam dan Thailand.

Namun, kejohanan Piala Asia yang bakal diharungi Pan-gon dan pemain-pemainnya sama sekali tidak serupa seperti Piala AFF atau perlawanan lain.

Kejohanan yang akan diadakan di Qatar itu bakal menghimpunkan pasukan terbaik Asia dan ada kemungkinan pasukan negara diundi bertemu pasukan seperti Korea Selatan, Jepun serta Australia.

Jika dilihat kepada kemampuan, sudah tentu kekuatan Harimau Malaya tidak setara kalau dibandingkan dengan pasukan-pasukan ternama Asia yang lain.

Bagaimanapun, tiada yang mustahil. Pasukan Maghribi misalnya berjaya mencipta kejutan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022. Ia seharusnya menjadi pembakar semangat kepada pasukan negara.

Gabungan pemain utama dan pemain baharu berdasarkan Piala AFF baru-baru ini perlu direncanakan dengan baik oleh Pan-gon untuk membawa pasukan terkuat ke kejohanan tertinggi Asia itu.

Pemain seperti Ruventhiran, Shahrul Nazeem, Haqimi Azim dan beberapa lagi muka baharu antara yang menyerlah dalam Piala AFF mampu memberikan nilai tambah jika dibawa ke Qatar.

Seperkara yang mungkin boleh difikirkan Pan-gon juga adalah untuk mengetepikan khidmat pemain naturalisasi negara dan memberikan tumpuan penuh kepada pemain tempatan serta pemain kacukan yang ada.

Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, Lee Tuck dan Sergio Aguero dinilai tidak setaraf dengan kualiti sebagai pemain naturalisasi.

De Paula dan Liridon telah beberapa kali diberikan peluang untuk menyarung jersi negara, namun tiada impak yang berjaya dihasilkan kedua-dua pemain itu.

Bagi Lee Tuck dan Aguero pula, pentas Piala AFF 2022 yang menjadi penampilan pertama mereka bersama skuad kebangsaan tidak sebagus yang diharapkan walaupun ada jaringan yang berjaya dihasilkan.

Mereka tidak mampu menjadi watak penting kepada pasukan negara ketika berdepan pasukan kuat walaupun mungkin agak ‘menjadi’ ketika berdepan pasukan lemah seperti Laos dan Singapura.

Justeru, menggunakan sepenuhnya pemain tempatan dan kacukan mungkin pilihan mutlak Pan-gon dalam menyediakan pasukan terbaik negara ke Piala Asia nanti.

Selain itu, aksi persahabatan dengan pasukan kuat seharusnya dirancang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tiada kejohanan besar lain yang dilangsungkan sebelum Piala Asia bermula.

Apa juga yang mahu direncanakan Pan-gon dan FAM, yang penting para penyokong akan sentiasa berada di belakang pasukan bagi meniup api perjuangan kepada Harimau Malaya.

* Muhammad Zakwan Nazaraly ialah Wartawan Sukan Sinar Harian