Mekanisme kawalan harga barang dikaji semula

Iklan
Salahuddin Ayub (duduk, tengah) ketika sidang media selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di kementeriannya pada Selasa. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Mekanisme kawalan harga barangan dan penetapan harga siling akan dikaji semula dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

"Memang kami akan kaji semula dalam masa terdekat, sebab dah setahun (penetapan harga maksimum),” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2023 di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia baru-baru ini mengutarakan pendapat agar kerajaan menilai semula mekanisme kawalan harga yang dianggap sudah ketinggalan zaman dan mengakibatkan barangan terkawal seperti telur, gula dan minyak masak selalu kekurangan dalam pasaran.

Mengenai inisiatif ‘Payung Rahmah’ yang meliputi program Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah bagi mengurangkan beban kos sara hidup, Salahuddin berkata KPDN akan memfokuskan pelaksanaannya kepada golongan miskin tegar.

Iklan

Menurutnya, data Jabatan Perangkaan setakat 31 Disember 2022 menunjukkan terdapat 130,000 Ketua Isi Rumah miskin dalam negara.

Dalam perkembangan lain, beliau menafikan bahawa tiada minyak masak paket di pasaran seperti yang didakwa sesetengah pihak, namun menjamin pegawai KPDN akan bertindak segera sekiranya ada aduan spesifik mengenai ketiadaan bekalan tersebut.

Iklan

Terdahulu dalam ucapannya, Salahuddin turut mengumumkan beberapa tawaran antaranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan memberi pengurangan kompaun 90 peratus dari nilai asal kompaun ke atas syarikat yang berstatus ‘dissolved’ di bawah Akta Syarikat 1965.

SSM juga akan meneruskan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 2016, katanya. - Bernama