Lemas ketika cuba selamatkan rakan hanyut

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kanan : Suffian Abdullah)

HULU SELANGOR - Salah seorang mangsa lemas di Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu di sini, dipercayai cuba menyelamatkan rakannya yang dihanyutkan arus sebelum dirinya sendiri lemas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.55 pagi semasa dua mangsa berkenaan datang ke Sungai Chiling untuk bermandi manda bersama lima rakan lain.

Iklan
Iklan

"Semasa kejadian rakan-rakan mangsa terdengar jeritan meminta tolong lalu salah seorang daripada mereka cuba membantu mangsa.

"Namun, kedua-duanya telah lemas akibat dihanyutkan arus sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, dua penuntut sebuah universiti swasta di ibu negara lemas semasa berkelah di Sungai Chiling di sini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mayat salah seorang mangsa berjaya dibawa naik ke tebing oleh orang awam manakala mangsa kedua berjaya ditemui pada jam 12.45 tengah hari.

Iklan

Suffian berkata, mayat kedua-dua mangsa yang berusia 21 itu dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu di sini bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan diri semasa berkunjung di tempat-tempat perkelahan ataupun aktiviti air," ujar beliau.