Jalan utama menghubungkan Pantai Timur masih boleh dilalui

Iklan
Keadaan jalan utama yang terputus hubungan akibat banjir semasa tinjauan malam Isnin. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Jalan utama yang menghubungkan Terengganu, Kelantan dan Pahang masih boleh dilalui walaupun banjir, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

Rohaimi berkata, jalan utama yang menghubungkan negeri Pantai Timur itu dengan Terenggganu termasuk Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Jalan Pantai dari Kemaman ke Besut masih boleh dilalui setakat jam 8 malam tadi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setakat ini hanya beberapa jalan di tiga daerah iaitu di Setiu, Dungun dan Besut yang tidak boleh dilalui selepas dinaiki air sejak jam 8 pagi Isnin.

"Pengguna boleh menggunakan jalan alternatif melalui Jalan Batu Rakit-Pantai Penarik-Saujana-Kuala Besut-Tok Bali-Bachok," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Iklan

Menurut Rohaimi, di daerah Besut, Jalan Padang Luas-Bukit Yong ditutup kepada semua jenis kenderaan dan pengguna boleh menggunakan Jalan Pantai Kuala Besut-Tok Bali-Bachok sebagai laluan alternatif.

"Di Dungun, laluan terlibat ialah KM76 Jalan Jerangau-Jabor berdekatan Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi. Sebagai alternatif pengguna boleh melalui Tol Paka-LPT 2-Tol Bukit Besi," katanya.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan akibat penutupan jalan. - Bernama