Pulau Pinang semak garis panduan tapak perkhemahan, glamping

Iklan
Soon Hin (tengah) menunjukkan poster perarakan Cingay, tarian singa dan naga 2023 pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan menyemak semula garis panduan tapak perkhemahan dan konsep perkhemahan glamor (glamping) komersial di negeri ini bagi memastikan ia dipatuhi oleh pemilik tapak.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, selain itu, pihaknya juga akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memantau tapak-tapak perkhemahan dan glamping agar ia dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri juga meminta pemilik tapak supaya memastikan keselamatan pengunjung terjamin ketika menjalankan riadah di kawasan mereka.

"Apa yang berlaku di Batang Kali telah mengejutkan kita selain membuka mata semua pihak bahawa aspek keselamatan amat penting. Oleh itu, kita menggesa semua pemilik tapak agar mementingkan aspek keselamatan," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam kejadian awal pagi Jumaat, sehingga jam 1.48 petang, seramai 16 termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Selangor.

Bagaimanapun kata Soon Hin, kerajaan negeri tidak mempunyai jumlah bilangan tapak perkhemahan dan glamping komersial di Pulau Pinang susulan industri tersebut masih baru.

Iklan

"Kita akan arahkan PBT mengkaji dan semak semula undang-undang berkaitan tapak perkhemahan dan glamping. Pemilik tapak juga dinasihatkan supaya memohon lesen daripada PBT.

"Setiap pusat riadah komersial perlu mendapat lesen perniagaan agar tidak bermasalah sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Soon Hin berkata, beberapa jalan utama di bahagian pulau akan ditutup secara berperingkat pada 1 Januari ini bermula jam 7 hingga 11 malam bagi memberi laluan acara perarakan Cingay, tarian singa dan naga 2023.

Antara jalan terlibat adalah Jalan Datuk Keramat, Jalan Penang, Jalan Kapitan Keling dan Lebuh Light.