Dalang cemar Sungai Benus dikenal pasti

Iklan
Sungai Benus tercemar angkara tindakan membuang sampah secara haram di kawasan berhampiran.

BENTONG - Dalang yang membuang sampah berhampiran Sungai Benus, di sini hingga mencemarkan sungai itu telah dikenal pasti.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) Pahang, Shaharudin Hamid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan menjejaskan alam sekitar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek akan dibawa ke muka pengadilan selepas kertas siasatan kes itu siap.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang membuang sampah sehingga menjejaskan alam sekitar dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada kempen program kutip sampah dan kempen Cinta Alam Sekitar di Hutan Lipur Lentang, di sini semalam.

Turut serta, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan ADUN Ketari, Young Syefura Othman.

Iklan

Shaharudin berkata, siasatan dilakukan di bawah Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal, Seksyen 71 (1) pembuangan sampah haram di tempat awam yang boleh dikenakan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, kebakaran tempat pembuangan sampah di tepi Sungai Benus, di sini yang berlarutan selama hampir seminggu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat susulan asap tebal dan risiko lain yang dihadapi.

Situasi itu juga mendedahkan keadaan sebenar kawasan berkenaan yang menjadi tempat pembuangan sampah haram sejak sekian lama hingga menyebabkan Sungai Benus semakin tertimbus dan tercemar.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Shaharudin berkata, keterangan daripada individu terbabit telah diambil dan lawatan ke kawasan pembuangan sampah haram itu dilakukan 5 Mac lalu.

"Berdasarkan siasatan awal kawasan berkenaan dibuang dengan pelbagai jenis sampah termasuklah sisa kilang dan juga sisa bahan binaan,” katanya.