Mat Sabu umum langkah import, bukan harga telur

Iklan
Mohamad Sabu -Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara dengan kadar segera untuk pelan jangka pendek.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar itu bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

Iklan
Iklan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini mengakui bahawa negara sedang berdepan masalah ketiadaan telur di pasaran.

Katanya, ketiadaan stok itu mencetuskan keresahan kepada rakyat selain merencatkan pertumbuhan ekonomi kerana banyak kegiatan perniagaan memerlukan bahan mentah itu.

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pertama kabinet memaklumkan pihaknya sudah berbincang dan Mohamad akan mengumumkan harga telur ayam yang lebih rendah pada Selasa.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan, Mohamad tidak ada menyebut mengenai harga telur ayam yang dijanjikan lebih rendah itu.

Dalam pada itu, Mohamad menambah, kementeriannya juga sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

Iklan

"Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak," ujarnya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga memberi jaminan bahawa telur ayam yang diterima dari sumber luar itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

"Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi," tegasnya.