Belanda pasukan pertama sambar slot suku akhir

Iklan
Dumfries (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang AS di Stadium Antarabangsa Khalifa pada awal pagi Ahad. -Foto: EPA

BELANDA muncul pasukan pertama melangkah ke pentas suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-1 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Antarabangsa Khalifa pada awal pagi Ahad.

AS terlebih dahulu menguji benteng Belanda seawal minit ketiga menerusi Christian Pulisic, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol, Andries Noppert.

Iklan
Iklan

Ketika AS terus giat mengasak kubu lawan, Belanda pula yang berjaya memperoleh gol menerusi ledakan penyerang berbisa, Memphis Depay pada pada minit ke-10.

Gol itu berpunca daripada hantaran lintang Denzel Dumfries sebelum Depay yang tidak dikawal berjaya merembat kencang bagi menewaskan penjaga gol AS, Matt Turner.

Iklan

Gol itu nyata menambah keyakinan kepada Belanda menguasai perlawanan, namun ia tidak menghalang AS menguji lagi Noppert menerusi percubaan Timothy Weah pada minit ke-42.

Kegagalan Belanda mengeluarkan bola di kawasan bahaya menyebabkan Weah membuat percubaan ke arah gawang Belanda, mujur Noppert berjaya sekali lagi menafikan gawangnya daripada dibolosi.

Iklan

Seminit sebelum aksi babak pertama berakhir, tonggak pertahanan, Daley Blind terus menceriakan kem Belanda apabila menyumbat gol kedua The Oranje.

Seperti gol pertama, satu lagi hantaran Dumfries gagal disekat pertahanan AS, sekali gus membenarkan Blind melepaskan satu rembatan menewaskan Turner.

Sebaik babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan berpeluang menjaringkan gol dengan AS terlebih dahulu hampir merapatkan jurang menerusi Tim Ream pada minit ke-49.

Bagaimanapun, percubaan Ream masih gagal merobek gawang Belanda susulan kesilapan barisan pertahanan Belanda yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil sepakan sudut Weston McKennie.

Seminit kemudian, Belanda pula hampir menambah gol ketiga menerusi jaringan sendiri Walter Zimmerman yang hampir tertolak bola ke gawang sendiri.

Menerusi beberapa serangan, AS akhirnya merapatkan jurang menerusi gol pemain gangtian, Haji Wright hasil hantaran Christian Pulisic pada minit ke-76.

Jaringan tersebut memberi keyakinan kepada AS untuk memburu gol penyamaan, namun kecekapan Noppert menggagalkan usaha The Yanks.

Sebaliknya, Dumfries mengakhiri sisa-sisa perjuangan AS apabila menyumbat gol ketiga Belanda selepas menyudahkan hantaran lintang Blind pada minit ke-83.